Keputusan Separuh Akhir Gegar Vaganza 2019 (GV 2019), meletakkan penyanyi berasal dari Singapura di tempat pertama dengan markah sebanyak 82 peratus.

Hady telah meninggalkan jurang markah sebanyak 5 peratus di antara kedudukannya dengan Naqiu di tempat kedua, yang memperoleh 77 peratus markah keseluruhan.

Ketua juri GV 2019, Datuk Ramlis MS berkata markah diperolehi Hady adalah disebabkan dia satu-satunya peserta yang mencapai standard tema duet selain menyanyikan lagu solonya dengan baik.

“Persembahan Hady malam tadi sangat baik, malah kesilapan yang dilakukan hanya satu atau dua sahaja.

“Dia menyanyikan lagu solonya dengan baik dan di pusingan duet hanya Hady yang betul-betul bersatu dengan pasangannya.

“Hady dan Dia Fadila mencapai standard format duet,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai persembahan Naqiu, Ramli atau lebih mesra dipanggil Tok Ram itu berkata, bintang GV 2019 itu kurang markah di pusingan duet.

Bagaimanapun kata Tok Ram, persembahan Naqiu pada nyanyian solo dibawa dengan baik dan tidak mempunyai masalah.

“Tak ada masalah untuk Naqiu ketika menyanyi solo, tetapi dia tak boleh menandingi Azmi ketika menyanyikan lagu Hanya Namamu.

“Walaupun susunan muzik telah diubah ke arah genre muzik Naqiu tetapi Azmi masih mengusai persembahan,” katanya.

Dalam pada itu Tok Ram masih tidak berpuas hati dengan persembahan peserta yang berada di kedudukan keempat hingga kelapan.

“Barisan juri pada malam ini pun nampak persembahan mana yang agak lemah dan melakukan lebih daripada 25 kesilapan pada setiap bar lagu.

“Perlu diingat, markah diambil pada persembahan mingguan bukan markah terkumpul yang di bawa dari minggu-minggu sebelumnya,” katanya.

Malam Separuh Akhir GV 2019 menyaksikan Norshila Amin berada di kedudukan terendah dengan markah sebanyak 52 peratus, Wann 57 peratus dan menjadikan mereka bintang yang terpaksa disingkirkan.

Sementara itu, One Nation Emcees berada di tempat ketiga dengan markah sebanyak 71 peratus, diikuti Nurfatima 67 peratus, Jatt 61 peratus dan Sham 60 peratus.

*Tahniah! Bintang GV 2019 Mara ke peringkat akhir Ahad depan*

GV 2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV 2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia dengan penaja bersama Adabi, Cuckoo, Powercat, Uphamol dan Digi selaku telco rasmi.