Pelakon dan pengarah Dira Abu Zahar meluahkan kerisauannya terhadap kesihatan barisan pelakon teater Dia Semanis Honey Muzikal.

“Jujur saya katakan sangat risau dengan kesihatan pelakon muzikal ini kerana mereka perlu menyanyi, menari dan berlakon secara serentak.

“Ditambah pula dengan sesi latihan, banyak guna suara dan tenaga jadi saya harap mereka semua berada dalam keadaan yang sihat.

“Kalau boleh selepas latihan saya mahu mereka semua balik rumah dan dapatkan rehat secukupnya sebelum kembali untuk melakukan ‘rehearsel’,” katanya ketika ditemui pada sidang media Dia Semanis Honey Muzikal baru-baru ini.

Mengulas mengenai muzikal tersebut, Dira akui tidak mudah untuk mengarahkan sebuah teater kerana amat berbeza dengan pengarahan di layar perak.

“Sebagai pengarah sudah tentu saya letakkan harapan tinggi tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu harapan itu menjadi tekanan kepada mereka.

“Walaupun kebanyakan mereka yang terlibat dalam muzikal ini baru pertama kali berlakon teater, saya yakin mereka mampu lakukan.

“Melihhat kepada komitmen yang diberikan oleh setiap pelakon saya rasa sangat terharu kerana mereka begitu bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik.

“Saya akui untuk mengarahkan teater memang sangat mencabar kerana ia berlainan dengan persembahan di layar perak.

“Pada awalnya memang saya ada alami sedkit kesukaran tetapi saya anggap itu semua sebagai proses pembelajaran untuk saya sebagai seorang pengarah,” jelasnya.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017

Selain Siti Nordiana, pelakon lain yang terlibat ialah Alif Satar, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtic.com.

Teks oleh: Mya Amri

Kredit foto: @Hyperpicturessdnbhd