Bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Sham Visa tidak terkilan apabila dituduh menjadi punca kepada penyingkiran Roy pada minggu kelapan.

Menurut Sham, dia menerima semua komen-komen peminat di laman sosial namun memilih untuk meletakkan keputusan itu di tangan juri tetap dan juri jemputan.

“Semua itu terpulang kepada pihak juri kerana mereka lebih arif. Tugas saya hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan. Selebihnya, pihak produksi lebih mengetahui.

“Itu adalah sesuatu di luar kawalan saya. Orang akan bercakap apa sahaja yang mereka nak cakap dan saya tiada hak untuk melarang sesiapa pun daripada bercakap.



“Mungkin pada awalnya saya sedikit tercuit dengan komen-komen warganet tapi bila saya fikir balik, mustahil untuk kita memuaskan hati semua pihak,” kata Sham kepada Gempak.

Sham ditemui selepas membuat persembahan lagu Dari Sinar Mata pada konsert suku akhir GV2019 yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Tambah Sham lagi, dia kini meletakkan fokus hanya pada diri sendiri dan persembahan yang bakal dilakukan.

“Saya nak perbetulkan kesilapan-kesilapan diri dan beri apa yang termampu dalam apa juga cabaran yang diberikan.

“Seperti mana yang saya pernah cakap sebelum ni, berdepan likers, haters ni adalah pengalaman pertama saya. Jadi, saya belajar dengan orang yang biasa dalam industri.

“Saya sekarang lebih memilih ke arah yang lebih positif. Orang tidak akan berhenti bercakap dan saya anggap ini sebagai salah satu cara mereka mempromosikan saya,” katanya lagi.

Pada konsert separuh akhir minggu depan, Sham bakal mempersembahkan lagu Permata dan Usang, duet bersama kumpulan Kopratasa.

Jangan lupa saksikan konsert separuh akhir GV2019 pada hari Ahad ini pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.