Pelakon Amar Asyraf terkilan teater bangsawan Putera La Galigo ditangguhkan pementasannya di saat akhir.

Dijadualkan untuk menemui penonton bermula malam ini, Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailudin, 30, telah membuat persiapan rapi untuk menjayakan pementasan tersebut.

"Sejujurnya, saya rasa terkilan pementasan teater tersebut ditangguhkan atas masalah teknikal. Sepatutnya, teater ini dipentaskan bermula malam ini (16 Disember).

"Saya betul-betul menantikan teater ini kerana sudah enam tahun tidak beraksi di pentas teater sebagai pelakon.

"Sebelum ini, saya banyak beraksi di belakang tabir teater sahaja sebagai pengarah. Saya melakukan persiapan bersungguh-sungguh untuk menjayakan teater ini.

"Saya bersama pelakon-pelakon lain sudah berlatih hampir tiga bulan untuk pementasan ini dan kami juga telah melakukan kajian mengenai sejarah Putera La Galigo serta berlatih silat.

"Saya berharap teater ini dapat dipentaskan di masa akan datang. Jika teater ini tidak dapat direalisasikan, saya akan betul-betul kecewa," kata Amar kepada Astro Gempak ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Mia Tiara.

Menerusi filem terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini, Amar bakal membawakan watak antagonis.

"Saya tertarik untuk melibatkan diri dalam filem ini kerana watak yang ditawarkan adalah watak antagonis.

"Watak yang bakal saya bawakan ini merupakan sesuatu yang baru untuk saya. Insya-Allah, filem ini akan menjalani penggambaran pada April tahun hadapan," katanya lagi.

Filem Mia Tiara akan diarahkan oleh Norazah Sahud dan bakal dibintangi oleh Siti Eja, Fathia Latiff, Faizal Hussein, Izzue Islam, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan Nadiyah Shahab.

Teks oleh: Kamaruddin Razal