Selepas tujuh tahun bersiaran akhirnya syarikat penyiaran Seoul Broadcasting System (SBS) mengumumkan rancangan Running Man akan ditamatkan pada Februari 2017.

Menurut SBS, anggota Running Man telah mengadakan pertemuan rahsia bersama penerbit hari ini untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Perbincangan itu juga turut dihadiri oleh Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo.

"Mereka telah mengadakan pertemuan di Seoul dan membuat mesyuarat tergempar untuk menyelesaikan salah faham serta masalah komunikasi mengenai kontroversi tersebut.

"Selepas perbincangan dilakukan, kedua-dua pihak bersetuju dan mengambil keputusan untuk menamatkan program berkenaan pada akhir Februari 2017.

"Bagaimanapun, mereka tidak mahu mengakhiri rancangan tersebut dengan membuatkan penonton berasa sedih.

"Jadi pihak produksi telah memutuskan untuk membuat penggambaran terakhir Running Man bersama Yoo Jae Suk, Ji Suk Jin, Ha Ha, Lee Kwang Soo, Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook," jelasnya.



Terdahulu, sebelum pembubaran diumumkan, terdapat spekulasi mengatakan episod akhir Running Man bakal ditayangkan pada awal Januari depan.

Bagaimanapun spekualsi itu dinafikan oleh jurucakap SBS dan mengatakan dakwaan itu tidak benar.

“Saya tidak mendengar tentang sebarang keputusan mengenai pembubaran Running Man. Kami akan cuba untuk mengenal pasti sama ada isu pembubaran ini benar atau tidak,” ujarnya

Dalam pada itu, menurut sumber terdekat, keenam-enam anggota Running Man telah bertemu pihak produksi rancangan tersebut tanpa ditemani pengurus masing-masing.

“Pertemuan berlangsung di Yeoiudo, Seoul untuk membincangkan kontroversi yang berlaku.

“Mereka tertanya-tanya adakah keputusan untuk meneruskan rancangan tersebut dengan bilangan anggota yang tinggal ini adalah betul atau tidak,

“Dengan segala perkara yang berlaku, kesemua mereka akhirnya mempertimbangkan keputusan untuk meninggalkan Running Man dengan rela hati, jika perkara ini berlaku maka tiada lagi Running Man,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri

Sumber: Koreaboo