Bekas penyanyi Farah Asyikin, 37, dilaporkan bakal bernikah kali ketiga pada 7 Januari tahun depan selepas berpisah dengan suami keduanya awal tahun ini.

Ibu tunggal kepada Ebrahim Owais, 2 tahun sembilan bulan, itu memilih duda anak tiga, Raja Iskandar Raja Muktharuddin sebagai bakal suaminya.

Majlis pernikahannya bersama lelaki berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat minyak dan gas akan diadakan di sebuah pusat komuniti di ibu kota.

"Bakal suami saya duda dan kematian isterinya sejak 18 tahun lalu. Kami kenal sejak Disember tahun lalu. Beliau melamar saya Mac lalu iaitu pada bulan sama bapa menghembuskan nafas terakhirnya.

"Beliau sempat mengenali arwah bapa. Arwah juga menyenanginya," katanya.

Dalam pada itu Farah turut mengakui merancang untuk bernikah pada April tahun hadapan, namun telah mempercepatkan tarikh tersebut untuk melunaskan perkara baik lebih awal.

"Kita hanya merancang, Tuhan menentukan. Majlis nikah saya ringkas saja. Selepas majlis akad nikah diadakan jamuan makan. Malah tiada Secara majlis bertunang pun. Kami masing-masing hanya berjumpa keluarga sebelum ini,” ujarnya.

Difahamkan Farah mengenali bakal suaminya melalui kawan yang turut terbabit dalam kerja amal menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan program kemanusiaan, Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakaf).

"Kawan saya mengajaknya menyertai kerja amal ini yang turut melancarkan kumpulan Addin Gaza yang mempunyai matlamat sama iaitu membantu penduduk Gaza melalui pungutan derma. Kumpulan berkenaan diuruskan saya dan bermula dari situ kami mula kenal," katanya.

Sumber: BH Online