Aktres jelita, Nur Fazura gembira kerana banyak menerima tawaran lakonan yang bersesuaian dengan kehendaknya.

Menurut Fazura, dia akui memilih watak kerana tidak mahu memegang watak wanita ditindas seperti dahulu.

Isteri kepada aktor Fattah Amin ini juga mahukan sesuatu yang berbeza dan mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

"Alhamdulillah, saya menerima banyak tawaran lakonan yang bersesuaian dengan kehendak saya sekarang.

"Sebelum ini, saya memang memperlahankan kerjaya lakonan kerana memilih watak, kebanyakkan tawaran yang diterima dahulu melibatkan watak wanita yang ditindas, saya tidak mahu lagi melakonkan watak sebegitu.

"Saya mahu lakukan sesuatu yang berbeza dan mencabar kebolehan saya sebagai seorang pelakon" kata Fazura kepada Gempak.

Fazura berkata demikian ketika ditemui di acara Selangor Modest Fashion Gala bertempat di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur malam tadi.

Tambah Fazura, dia bersyukur kerana Tuhan telah memakbulkan doanya yang sentiasa berharap untuk menerima tawaran lakonan seperti dikehendaki.

"Saya kerap berdoa kepada Tuhan agar mendapat tawaran lakonan yang bersesuaian, Alhamdulillah, tuhan telah makbulkan permintaan saya, sekarang tawaran datang sehingga tak terkawal pula!" selorohnya.

Difahamkan, Fazura bakal muncul dalam beberapa buah filem tidak lama lagi, namun perkara itu masih belum sedia dikongsi kepada khalayak, sama-sama kita nantikan!