Pengacara jelita Neelofa mengakui sudah kalis dengan kecaman segelintir pihak yang menyifatkan dia sepatutnya sudah lama berundur dari rancangan MeleTOP.

Jelas Neelofa, kata-kata sedemikian tidak memberikan kesan kepadanya malah berterima kasih atas sokongan terhadap rancangan bual bicara hiburan popular itu.

"Perkara itu bukan baru, selama ini pun memang sentiasa ada yang mempertikaikan kedudukan saya sebagai pengacara MeleTOP.

"Bagi saya masing-masing ada pendapat masing-masing dan saya sudah melakukan sehabis baik sebagai pengacara dengan buat rujukan, merancang daripada segi pengacaraan dengan Nabil dan macam-macam lagi.

"Kata-kata itu tidak mengecewakan saya dan tak memberi kesan pun.

"Saya turut berterima kasih kepada orang di luar sana yang menyokong dan terus menonton. Kerana merekalah yang telah meletakkan MeleTOP di kedudukan sekarang," ujarnya.

Malam tadi Neelofa telah mengumumkan pengundurannya daripada MeleTOP secara langsung selepas bersama produksi itu lebih tujuh tahun.

Pengumuman yang mengejutkan itu turut memberikan kesan kepada pengacara gandingannya, Nabil Ahmad yang tidak tahu menahu akan pengunduran Neelofa.

Neelofa telah bersama MeleTOP sejak tahun 2012 dan pernah menemubual pelbagai selebriti terkenal dalam dan luar negara termasuk Christina Perri, Maher Zain dan ramai lagi.