Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof mengumumkan bakal mengakhiri zaman duda dengan wanita pilihan hatinya pada 12 Disember ini.

Eizlan, 48, memilih wanita bujang keturunan Serani, Natasha Rosa Boudville, 29, sebagai teman hidupnya.

"Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sahabat.

"Bagaimanapun, saya membuat keputusan untuk melamarnya sebagai isteri kira-kira tiga bulan lalu," katanya.

Eizlan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di BoraOmbak Putrajaya sebentar tadi.

Sementara itu, katanya, majlis resepsi nanti akan diadakan pada 13 Disember.

Namun, pelakon Puteri Yang Ditukar itu memilih untuk merahsiakan identiti wajah wanita tersebut sehingga hari majlis pernikahan nanti.

"Dia merupakan seorang kakitangan pengurusan di sebuah hotel lima bintang di ibu kota.

"Natasha sebenarnya memeluk agama Islam pada Ogos tahun lalu sebelum saya membuat keputusan untuk melamar dirinya lagi," katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa aktor filem Paskal The Movie itu bakal mengakhiri zaman dudanya pada bulan ini.

Namun, Eizlan memilih untuk mengunci mulut mengenai khabar angin yang tersebar sejak bulan lalu.

Terdahulu, Eizlan pernah mendirikan rumah tangga dengan Vie Shantie Khan pada 7 Julai 2007 sebelum mereka sah bercerai talak satu pada Februari 2015.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 11, Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaalia, 6.