Penangan hebat drama bersiri Suri Hati Mr.Pilot telah menjadikan ia tersenarai sebagai drama Melayu paling trending nombor satu di enjin carian Google Malaysia pada tahun 2016.

Ia diikuti dengan drama bersiri yang dibintangi oleh Alif Satar dan Siti Nordiana iaitu Dia Semanis Honey yang telah popular sejak ia ditayangkan pada Mei lalu.

Sementara itu, antara 10 drama Melayu paling popular lain yang turut tersenarai dalam Google Malaysia pada tahun ini adalah Isteri Vs Tunang, Awak Sangat Nakal dan Suami Tanpa Cinta.

Isteri Vs Tunang yang menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Scha Al-Yahya dan Sharifah Sakinah telah diarahkan oleh Michael Ang.

Manakala, Awak Sangat Nakal yang mempunyai 16 episod keseluruhannya itu telah menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat ketika ditayangkan pada November lalu.

Suami Tanpa Cinta drama adaptasi novel pula telah dibintangi oleh pelakon utamanya Shukri Yahya dan Janna Nick.

Kesemua lima drama bersiri ini telah pun ditayangkan di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) .

Mengulas mengenai penangan Suri Hati Mr. Pilot yang dibintangi Fattah Amin dan Neelofa itu sehingga kini ia masih menjadi bualan apabila ramai yang suka melihat aksi romantis hero dan heroinya dikatakan bercinta di luar lokasi.

Pasangan ini juga menjadi popular dan kegemaran ramai sehingga mereka terpaksa membuat acara beramah mesra bersama peminat hingga ke Brunei dan Singapura.

Drama terbitan Cube Film Sdn Bhd dan diarahkan oleh Michael Ang itu turut dibintangi pelakon lain seperti Eleena Sui, Alvin Chong, Mas Khan, Aleza Shadan, Nina Juren.

Teks oleh: Syafiqah Jalal