"Ini bukan zaman dulu nak sorok-sorok," itu kata-kata Neelofa menjawab desas-desus bakal mendirikan rumah tangga tahun hadapan.

Jelas usahawan dan hos popular itu dia tidak akan menyembunyikan khabar baik daripada pengetahuan umum seandainya bakal berkahwin kelak.

"Andai saya akan melangkah ke fasa baru saya akan kongsikan kepada umum.

"Mungkin sebab umur saya sudah 30 tahun menyebabkan ramai yang membuat spekulasi.

"Tiada sebab untuk saya berahsia mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada seseorang, saya akan kongsikan," ujarnya.

Tambah Neelofa, masih belum ada sebarang perbincangan bersama keluarganya mengenai perkara terbabit.

"Sejujurnya tiada apa-apa perbincangan membabitkan ahli keluarga mengenai ke arah itu.

"Cuma apa yang boleh saya kongsikan, adik dan sepupu saya ada yang bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.


"Buat masa sekarang saya dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya seni di Indonesia sekali gus ia menyangkal gosip yang timbul," kata Neelofa.

Neelofa ditemui pada majlis pelancaran koleksi kasut kolaborasi bersama jenama antarabangsa Giuseppe Zanotti di Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Secara tak langsung Neelofa menjadi selebriti sulung di Malaysia yang berkolaborasi dengan jenama kasut popular itu.

"Saya bersyukur dan teruja atas peluang serta rezeki ini. Ini adalah hadiah bermakna dalam hidup saya kerana saya adalah peminat jenama kasut berkenaan.

"Malah saya sendiri sudah lama menggunakannya. Tak sangka peluang ini datang daripada pemilik jenama ini baru-baru ini ketika terokai beberapa projek di luar negara," akhiri Neelofa.