Pengacara Nabil Mahir mengakui dia kini sedang menjalin cinta dengan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat.

Sedang mengenali hati budi masing-masing, mereka juga sudah bertemu keluarga kedua belah pihak.

"Kami sudah lama kenal tetapi hanya mula rapat beberapa bulan lalu. Kami mengenali hati budi masing-masing dan kini sedang menjalin hubungan.

"Perasaan itu ada dan ia lebih dari sekadar kawan. Perkara itu datang sendiri dan kami masih dalam proses berkenalan, semuanya berlaku secara perlahan-lahan," katanya.

Nabil ditemui di majlis pelancaran muzik video Ayda Jebat, Mana Ada Hati dan Better Than You di Tropicana, Damansara sebentar tadi.

Ketika ditanya bilakah mereka akan membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya, bekas pengacara HLive ini mempunyai jawapan tersendiri.

"Kami juga telah mengenali keluarga masing-masing dan semuanya baik-baik sahaja. Ayda juga telah membuka mulut mengenai perkara ini.

"Berkenaan dengan perancangan untuk ke fasa lain, tipulah jika kami kata kami tak ada bincang langsung mengenai perkara terbabit, umur juga semakin meningkat.

"Kami ada bercakap secara kasual berkenaan hal itu tetapi ada baiknya jika tidak terlalu terburu-buru.

"We want to take it slow... Kami sedang mengenali diri masing-masing secara lebih mendalam. Kami juga memohon doa yang baik-baik," katanya lagi.