Penyanyi Zainal Abidin mengajak peminatnya untuk mengimbau kenangan silam di konsert ulang tahun ke-35 penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Zainal atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamad, 57, bakal mengadakan sebuah konsert yang diberi nama 'The Musical Journey of Zainal Abidin - 35th Anniversary Concert' pada 25 Februari 2017.

"Insya-Allah, konsert tersebut akan diadakan bagi meraikan penglibatan saya dalam industri muzik selama lebih tiga dekad.

"Konsert berskala besar ini telah menjadi impian semenjak sekian lama dan bakal menyaksikan kembara muzik saya ketika mula-mula menjejakkan kaki dalam bidang nyanyian sehinggalah hari ini.

"Saya mengajak peminat di luar sana untuk sama-sama berhibur dan mengimbau kenangan lama. Tidak hanya hiburan, saya juga akan berkongsi pengalaman penglibatan saya dalam industri hiburan," kat Zainal kepada Astro Gempak.

Tambah Zainal, konsert itu juga akan menyaksikan penyatuan semula kumpulan Headwind dalam satu segmen khas.

"Permintaan peminat yang mengharapkan reunion kumpulan Headwind bakal menjadi kenyataan dalam konsert ini menerusi satu segmen khas. Kenangan zaman 80-an akan dibuka semula dan kami akan mempersembahkan lagu-lagu popular seperti Suraya, Hanya Di Radio, Kita Serupa, Segalanya Mungkin dan banyak lagi," katanya.

'The Musical Journey of Zainal Abidin - 35th Anniversary Concert' bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Dapatkan tiket yang bermula dengan harga RM158 sehingga RM958 di laman web www.mytickets.asia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal