Atas permintaan peminat, penyanyi Alif Satar dan Siti Nordiana bakal menyanyikan lagu duet popular Memori Berkasih dalam teater Dia Semanis Honey Muzikal.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh penerbit muzikal tersebut, Michael Ang di sidang media yang berlangsung pada petang tadi bertempat di Istana Budaya.

Menurut Michael dia sedia maklum bahawa penonton setia drama Dia Semanis Honey mahu melihat paduan suara dua penyanyi itu dan dia akhirnya dapat merialisasikan impian mereka menerusi teater berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan banyak perkara istimewa yang akan kami tunjukkan dalam teater muzikal ini dan salah satunya lagu popular Memori Berkasih.

“Saya tahu ramai penonton bertanya kenapa Siti Nordiana dan Alif tidak menyanyikan lagu itu sedangkan lagu itu sering dimainkan dalam drama tersebut.

“Jadi untuk merialisasikan impian penonton maka untuk teater muzikal ini akhirnya peminat dapat mendengar dan melihat sendiri gabungan suara mereka berdua.

“Ini merupakan hadiah buat pengikut setia Dia Semanis Honey,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nordiana meluahkan rasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyertai teater tersebut.

“Tipulah kalau saya kata tak gementar, sebab tahu berlakon depan kamera dan secara live sangat berbeza.

“Inikan pula saya yang pertama kali berlakon teater, tapi saya rasa bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk sekali lagi menggalas watak Hani Safira untuk muzikal ini.

“Risau juga sebenarnya, khuatir jika saya terlupa lirik atau pun dialog. Tapi tak apalah yang penting saya akan berikan sehabis baik untuk teater ini,” ujarnya.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Datuk Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.

Selain Alif Satar dan Siti Nordiana, pelakon lain yang terlibat ialah Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtix.com.

Teks oleh: Mya Amri