Selepas Gary, dua lagi bintang Running Man, Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook dilaporkan akan meninggalkan variasi popular tersebut.

Perkara itu disahkan oleh pihak pengurusan Ji Hyo, MY Company, selepas aktres itu memberitahu menghadapi kesukaran untuk membahagikan masa antara kerjaya lakonan dan program tersebut.

“Song Ji Hyo telah buat keputusan untuk undurkan diri daripada Running Man. Sebelum keputusan tersebut dibuat, dia telah mengadakan perbincangan bersama pihak produksi mengenai perkara tersebut.

“Memandangkan jadual kerjanya agak padat, Ji Hyo telah mengalami kesukaran untuk membahagikan masa antara lakonan dan Running Man.

“Jadi dia mengambil keputusan untuk memberikan laluan dan fokus kepada lakonan selepas meninggalkan Running Man.

“Tarikh akhir penggambaran Ji Hyo bersama program tersebut masih lagi belum ditentu,” kata wakil syarikat tersebut.



Sementara itu, syarikat pengurusan Kim Jong Kook, Maroo Entertainment juga mengesahkan penyanyi itu telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Running Man.

“Walaupun agak sukar namun Kim Jong Kook telah membuat keputusan untuk tinggalkan Running Man.

“Bagaimanapun tarikh untuk penggambaran terakhirnya bersama Running Man masih lagi belum diketahui,” jelasnya pendek.

Dalam pada itu, spekulasi mengatakan penggambaran terakhri Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook adalah pada minggu depan.

Dengan pemergian dua anggota tersebut, nama pengacara Kang Ho Dong antara yang disebut sebagai pengganti baru Running Man.

Terdahulu, Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook telah menjadi ahli tetap Running Man sejak tahun 2010.

Kang Gary yang juga telah meninggalkan program berkenaan pada Oktober lalu untuk memberi fokus terhadap karier nyanyiannya selepas enam tahun bersama Running Man.

Anggota tetap Running Man kini hanyalah Yoo Jae Suk, Ji Suk Jin, Haha, dan Lee Kwang Soo.

Olahan semula: Mya Amri

Sumber: Allkpop