Berpeluang menjadi hos untuk rancangan Extreme Roadtrip, pelakon dan pengacara Elfira Loy akui bukan mudah untuk wanita bertudung melakukan aktiviti lasak.

“Saya tak nafikan waktu mula-mula jadi hos untuk program tersebut agak sukar untuk saya lakukan aktiviti extreme terutamanya camping bila kita berhijab.

“Tapi bila kita dah buat, tak susah pun, bagus sebenarnya dan secara jujurnya saya sendiri yang discover perkara-perkara baru.

“Saya juga ada kongsi beberapa tips mudah di akaun Instagram saya untuk wanita bertudung yang sukakan aktiviti lasak.

“Tipulah kalau tengah mandai sungai tu tudung tak rasa nak tercabut kan? Jadi nak lebih mudah boleh pakai tudung instant dan tarik sedikit bahagian tudung di leher kemudian pin dibahagian belakang, ini antara contoh saja,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Elfira lagi, pemilihan pakaian dan penampilan diri antara perkara utama yang perlu difokuskan sebelum melakukan aktiviti tersebut.

“Kena sedia maklum bila dah bertudung segala benda yang kita lakukan pasti akan jadi perhatian ramai lebih-lebih lagi artis.

“Sebab itu perkara paling penting adalah pemilihan pakaian yang sesuai dan memang perkara ini yang saya fokuskan.

“Saya tahu pasti ada yang akan kata nampak bentuk badanlah, pakai baju ketatlah, kalau orang tak suka tak apa, itu di mata mereka.

“Tapi bagi saya, saya dah cuba yang terbaik. Pakai baju labuh dan longgar, panjat bukit sambil pakai jaket tapi itulah, mulut orang kita tak boleh nak tutup.

“Jagalah macam mana pun pasti ada saja yang tidak kena, tak apalah, tapi apa yang saya ingin sampaikan di sini sebagai seorang muslimah bab-bab jaga pakaian memang saya berhati-hati,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri