Pelakon Fasha Sanda mendedahkan anaknya,Putra Rayfal Ramli sedih hingga menangis ketika dia keluar bekerja serta menjalani penggambaran di luar.

Fasha berkata anaknya yang kini berusia 3 tahun itu tidak membenarkan dia keluar bekerja kerana merinduinya dan selalu ingin bersama pelakon utama siri, Lara Aishah tersebut.

"Saya menjalani penggambaran Lara Aishah hampir lapan bulan dan jadual kerja saya agak padat sepanjang tahun ini.

"Anak saya terutama Rayfal juga sudah mula perasan kesibukan saya yang sering keluar bekerja mencari rezeki.

"Pernah sekali itu ketika di set penggambaran, saya membuat panggilan video dengan Rayfal dan dia menangis kerana mahukan saya serta merindui saya.

"Dia (Rayfal) seorang budak yang bijak dan sudah pandai bercakap, katanya tidak mahu saya bekerja dan mahu saya sentiasa bersama dengannya.

"Dia beberapa kali beritahu tak beri saya keluar bekerja kerana katanya dia tak perlukan duit tetapi dia hanya perlukan saya sahaja. Sedih juga melihatnya.

"Saya sedar saya kuat mencari duit sepanjag tahun ini tetapi semua untuk anak-anak saya. Namun bila dengar luahan dia, saya akan cuba berehat selepas tamat penggambaran Lara Aishah ini dan mula bekerja kembali awal tahun hadapan," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Rayfal, Fashamempunyai seoarang lagi anak,Putri Raysha Jemaima, 2, hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Pun begitu, Fasha memberitahu dia tidak pernah gagal pulang ke rumah dan memastikan dia tidur bersama dengan anak-anak setiap malam.


"Walaupun balik daripada penggambaran itu agak lewat dan mereka sudah tidur, namun saya akan pastikan mereka bersama saya setiap malam.

"Bagaimanapun saya terpaksa mengucapakan terima kasih kepada produksi kerana walaupun kami menjalani penggambaran yang agak lama tetapi mereka tetap memberi rehat selama satu hari setiap minggu

"Jadi satu hari itu saya akan gunakan sebaik mungkin untuk meluangkan masa dengan anak serta melakukan aktiviti bersama," katanya lagi.

Selain Fasha Sandha, siri dari adaptasi dari telenovela Mexico, La Loba itu turut dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Nazim Othman, Shah Jaszle, Eizlan Yusof, Dian P.Ramlee, Ainul Aishah, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Janet Khoo, Sasqia Dahuri dan ramai lagi.

Drama bersiri yang mempunyai 100 episod keseluruhannya itu,bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang dan ulangan 12 malam di saluran Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Syafiqah Jalal