Pemenang tempat ketiga Lawak Solo, Fikry bercadang untuk menggunakan duit kemenangan RM20,000 yang diperolehi pada pertandingan itu untuk mengembangkan perniagaan dobi miliknya.

Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 22, berkata, perniagaannya itu terpaksa berhenti seketika kerana mempunyai masalah kewangan yang kurang mencukupi.

"Saya bercadang untuk menggunakan duit kemenangan ini untuk mengembangkan semula perniagaan dobi saya yang sudah terbengkalai kerana mempunyai masalah kekurangan kewangan.

"Saya memulakan perniagaan dengan sebuah mesin basuh dan ia sempat beroperasi selama 10 bulan sebelum menghentikan operasi.

"Perniagaan itu telah dijalankan di Jitra, Kedah kerana pada awalnya saya telah menggunakan wang simpanan sendiri namun operasinya dihentikan buat seketika kerana menyertai Lawak Solo juga," katanya kepada Astro Gempak.

Fikry berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai duit kemenangan tempat ketiga yang dimenanginya menerusi pertandingan Lawak Solo.

Sementara itu, Fikry berkata, walaupun sudah bergelar selebriti dia tetap menyimpan hasrat untuk menyambung kembali pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda.

"Saya merupakan pemegang Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Walaupun kini saya sudah bergelar seorang selebriti tetapi saya ingin menghabiskan pengajian terebih dahulu," katanya.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi