Pada Khamis dan Jumaat minggu lalu, telah berlangsungnya konsert Karya Agung Pak Ngah Datuk Suhaimi Mohd Zain di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert yang diadakan untuk menghargai karya dan jasa Allahyarham bapa Irama Malaysia itu turut dijayakan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Syamel, Ernie Zakri, Rojer dan Asmidar.

Sepanjang konsert berlangsung kesemua penyanyi memberikan persembahan terbaik bermula dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang membuka Panggung Sari dengan lagu-lagu tradisional ciptaan Pak Ngah seperti Ala Donde, Embun Sosek dan Pong Pong Along.Pada malam tersebut juga turut diselang selikan beberapa buah video individu yang selalu bekerja dengan Pak Ngah seperti penulis lirik Lokman Ghani dan Che Kem termasuk ahli keluarga Allahyarham berkongsi kenangan manis bersama penonton.

Penampilan istimewa Siso dan Hairul Anuar Harun yang menyingkap kembali perjalanan Pak Ngah dalam industri seni menyentuh hati penonton.

Konsert istimewa tersebut dibahagikan kepada beberapa segmen seperti lagu-lagu hit dalam teater ciptaan Pak Ngah, lagu-lagu teater yang dikomersilkan dan lagu-lagu nusantara dipersembahkan oleh Syamel, Ernie Zakri, Rojer dan Asmidar.

Siapa sangka empat penyanyi muda ini berjaya menyampaikan setiap lagu irama Malaysia dengan baik dan sewajarnya diangkat dengan pujian.Ernie dan Syamel menyampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang dipernah dipersembahkan pada teater muzikal seperti Muzikal Rubiah, Muzikal Randai Cinduo Mato, Aladdin dan Puteri Hang Lipo.

Sementara Asmidar dan Rojer pula menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah dari pentas teater yang dikomersialkan, antaranya Laksama Raja Di Laut, Sulam Sembilan dan Dikir Puteri.

Selain itu, turut disampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan penyanyi Indonesia.

Antaranya, lagu Puteri Impian nyanyian asal Nassar, Bidadari Jiwa nyanyian asal Danang dan Zapin Melayu nyanyian asal Lesti.

Segmen terakhir merupakan segmen yang ditunggu-tunggu apabila penyanyi yang paling banyak menyanyikan lagu Allahyarham, Datuk Seri Siti Nurhaliza memecah panggung dengan lagu pembukaan Cindai.

Siti turut mengembalikan nostalgia apabila menyanyikan lagu medley Balqis dan Hati Kama, Bergending Dang Gong (duet bersama Rojer), Jelmakanlah Ayumu, Nirmala dan Kurik Kundi.

Lebih menarik lagi apabila Siti membawa kembali memori di pentas Juara Lagu 2001 dengan lagu Ya Maulai.
Di samping membuat persembahan yang penuh bertenaga Siti turut mengimbas kembali kenangannya bersama Pak Ngah, individu yang bertanggungjawab membawa namanya ke dunia seni sehingga berada di kedudukan sekarang.

“Pak Ngah, walaupun dia sudah tidak ada…dia tetap di hati saya. Hari ini saya di sini untuk mengenang kembali jasa dan pengorbanan Pak Ngah kepada saya.

“Dulu, apa saja yang saya mahukan, pasti Pak Ngah turuti walaupun permintaan saya itu kadang-kadang tak masuk akal.

“Terima kasih Istana Budaya, OTM, Artis Tari Istana Budaya, penari cilik Swatari dan semua yang terbabit. Tahniah dan terima kasih Mak Ngah, Megat dan Rina kerana berjaya mengadakan konsert ini dan meneruskan usaha arwah Pak Ngah. Semoga akan lebih banyak lagi konsert seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Foto: Rozi Abdul Razak