Selepas menceburi bidang lakonan dan perniagaan, pelakon Mia Sara Nasuha memberitahu akan mencuba nasib dalam dunia muzik dan nyanyian pula.

Mia Sara, 14, ketika ditemui Gempak berkata, selain minat yang mendalam terhadap muzik dia juga ingin memastikan bakatnya terus berkembang.

“Kalau yang ikut saya di Instagram, pasti tahu saya memang suka menyanyi. Saya juga sudah tahu menggunakan Ukulele.

“Tapi selain Ukulele saya minat juga nak belajar main piano dan gitar,” yang akan menduduki Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) tahun hadapan.

Bagaimanapun kata Mia dia tidak mengikuti sebarang kelas bermain alat muzik setakat ini, cuma pergi ke kelas vokal.

“Sebenarnya sebelum ini Mia nak jadi penyanyi tetapi tawaran berlakon pula yang datang.

“Sekarang ini saya tak ada pergi kelas belajar main alat muzik…tetapi belajar sendiri sahaja. Saya cuma ke kelas vokal untuk belajar menyanyi.

“Tapi sekarang ‘bercuti’ sekejap sebab cikgu vokal saya sibuk. Ada masa yang sesuai kita sambung balik kelas macam biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mia baru sahaja selesai penggambaran siri komedi baharu, ‘SMK’ di saluran Astro Ceria.

‘SMK’, sebuah siri menampilkan pelbagai kisah menarik seorang murid baharu bernama Adam dan gelagat sekumpulan remaja di sekolah menengah.

Ia mengangkat keunikan setiap pelajar dan menyuntik semangat persahabatan serta keharmonian terutamanya di kalangan pelajar yang hadir dari pelbagai latar belakang.

Mulai bersiaran pada setiap hari Sabtu, 30 November, 11.00 pagi, ‘SMK’ diterajui oleh pelakon kanak-kanak/remaja; Wafiy Ilhan, Erissa Puteri, Fikry Kiki, Idan Aedan, Rykarl Iskandar, Mia Sara, Aniq dan Kashika dari ‘Ceria Megastar’. Turut hadir memeriahkan siri ‘SMK’ adalah pelakon / pelawak popular tanah air, Abam Bocey, Hafidz Roshdi dan Nasz Sally.