Filem Wira yang bakal ditayangkan tidak lama lagi bakal menyaksikan babak pertarungan serta adegan 'fighting' bertaraf antarabangsa.

Hampir kebanyakan babak lawan dalam Wira boleh dianggap sebagai kompleks dan terperinci jika dibandingkan karya tempatan sebelum ini.

Namun, tahukah anda kesemua koreografi pertarungan dihasilkan oleh pelakon dan pelatih seni mempertahankan diri Yayan Ruhian?

Pada yang tidak mengenali Yayan, dia merupakan pelakon yang pernah membintangi filem antarabangsa termasuklah Star Wars : The Force Awakens, The Raid, The Raid 2, Yakuza Apocalypse, dan terbaru adalah John Wick Chapther 3.

Hebat bukan?

Menerusi pertemuan Gempak bersama Yayan baru-baru ini, dia menegaskan kehadirannya dalam filem Wira adalah sebagai pelakon yang membawa watak Ifrit iaitu orang kanan kepada seorang ketua gangster bernama Raja.

Tidak sekadar melakonkan watak tersebut, Yayan juga mendedahkan dia menjadi individu penting menghasilkan koreografi babak pertarungan dalam Wira.

"Saya bertindak sebagai fighthing koreografi dalam filem ini. Apa yang saya boleh katakan kerjasama antara Adrian Teh dan pelakon lain sangat mudah.

"Semua pelakon sudah mempunyai asas dalam aspek bela diri, jadi tidak perlu masa lama untuk latihan. Tinggal hanya untuk 'polish' dan hasilkan koreografi saja," katanya.

Menurut Yayan, perkara paling penting dalam babak pertarungan dalam filem adalah aspek 'aksi reaksi'.

"Amat penting untuk saya dan pasukan menghasilkan koreografi yang nampak real. Bagaimana sesuatu adegan tumbuk atau pukul itu kelihatan seperti hampir kena dan atau sudah kena tetapi tidak menyakitkan.

"Reaksi pelakon itu sangat penting," katanya.

Untuk rekod, Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda, manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.