Sepertimana ramai yang tahu New Boyz dan Boboy berkongsi zaman kegemilangan sama sekitar lewat tahun 1990-an.

Namun, hanya vokalis New Boyz iaitu Tomok yang masih bertahan hingga sekarang dan Naqiu (Boboy) pula baru bangkit semula menerusi Gegar Vaganza 2019 (GV2019).

Kebangkitan semula Naqiu sedikit sebanyak mengundang komen nakal peminat yang beranggapan Tomok bakal tenggelam disebabkan aura luar biasa bintang GV2019 itu. Namun, ini komen Tomok.

"Saya ucapkan tahniah pada Naqiu atas persembahan sangat baik setiap minggu dan doakan dia sukses.

"Jangan berhenti selepas GV sebab bakat dia sangat besar.

"Bagi saya tak ada isu pun, sebagai rakan kami saling menyokong dan masing-masing punyai peminat sendiri.

"Tak ada istilah cemburu dan ia tak bagus untuk industri.

"Saya sokong dia di GV dan saya nampak dia mahukan kemenangan itu," katanya kepada Gempak.

Tomok yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Sumayyah 2019 dan pencarian ikon muslimah Sisfel Mencari Sumayyah di D'Saji Titiwangsa semalam mengakui masih berhubung dengan Naqiu.

"Kali terakhir dia ada menghubungi saya ketika tugasannya untuk menyanyikan lagu Meraung untuk GV beberapa minggu lalu.

"Rasanya sudah lama tidak bertemu dengan Naqiu selepas terbabit dalam satu program sama sebelum ini.

"Masing-masing pun sibuk dengan kerjaya sendiri," tambahnya.

Dalam perkembangan terbaru, Tomok muncul berduet dengan kumpulan nasyid Hijjaz menerusi lagu Sumayyah 2019.

"Satu lagu yang saya minat dari kecil dahulu, ini satu penghargaan untuk menyanyikan lagu yang ramai peminat dan bergandingan dengan legenda nasyid negara, saya sangat gembira," katanya.

Sementara itu, jangan lepaskan peluang menyaksikan GV2019 pada hari Ahad ini 17 November 2019 pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Adabi, Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.