Jarang kita dapat menonton filem yang mengangkat kehidupan orang kurang upaya (OKU) apatah lagi bergenre aksi.

Sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut 3 Disember setiap tahun, anda berpeluang menonton filem aksi pertama OKU berjudul Garang!

Garang diarahkan oleh Kan Varren dan mengambil inspirasi daripada kehidupan individu sebenar bekas atlit paralimpik sukan lumba kerusi roda, Izam.

Faktanya, Izam yang turut membintangi filem ini pernah mewakili Malaysia ke Jepun dan Korea sekitar tahun 1998 hingga 2005.

Kata Varren, dia terdetik untuk mengangkat kisah hidup Izam apabila melihat sendiri kehidupan yang dilalui oleh golongan OKU di Bengkel Sampul Surat, Batu Pahat, Johor.

"Inisiatif filem ini adalah daripada produser Sakti Films Sdn Bhd, Dakshina Muriti yang juga pengurus di Bengkel Sampul Surat bagi mencari dana untuk membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di bengkel itu.

"Memandangkan sejak kecil hingga dewasa saya membesar di sana dan melihat sendiri kehidupan yang dilalui golongan OKU, saya terpanggil untuk mengangkat kisah hidup Izam yang saya kira sangat menarik kerana dia adalah seorang bekas atlit paralimpik kebangsaan dalam acara sukan lumba kerusi roda.

"Tambahan pula, masih kurang kisah tentang OKU diangkat di layar perak. Saya harap filem ini akan mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan dan galakan kepada golongan OKU," katanya.

Menurut Varren, menerusi filem Garang, pihak produksi turut memberi peluang kepada golongan OKU untuk merasai sendiri pengalaman berlakon di layar perak sekali gus menangkis tanggapan negatif masyarakat.

"Filem ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU berlakon dimana disamping dapat mencungkil bakat baru, mereka juga dapat merasai pengalaman yang istimewa.

"Ia juga dapat menangkis tanggapan negatif masyarakat yang selalu melihat OKU sebagai orang yang tidak berdaya dan mempunyai kehidupan berbeza," tambahnya.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Filem Garang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula pada 5 Disember 2019.