Penyanyi 90-an yang pernah popular menerusi lagu Diusung Duka, Ilyka kembali memeriahkan industri muzik dengan dua single terbaru bersama Cloudworks Record.

“Saya masih aktif membuat persembahan dan menerima undangan nyanyian tetapi saya tidak ada single terbaru. Untuk mengubati kerinduan peminat, saya bakal tampil dengan dua single yang berjudul Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku.

“Semua lagu ini telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada Oktober lalu dan lagu-lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal Indonesia, Tengku Shafick. Sebelum ini, Tengku Shafick pernah mencipta lagu Cuba Untuk Mengerti nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan I’m The Lucky One nyanyian Anuar Zain,” kata Ilyka kepada Astro Gempak.

Tidak mempunyai niat untuk bersaing dengan artis baru, Ilyka atau nama sebenarnya Zuraila Mohd Yassin, 44, mengharapkan kehadirannya dapat mengubati kerinduan peminat yang menantikan single terbarunya.

“Saya muncul bukanlah kerana mahu bersaing tetapi hanya sekadar ingin sama-sama memeriahkan industri nyanyian Malaysia. Saya juga mahu mengubati kerinduan peminat yang sudah lama menanti buah tangan terbaru saya.

“Kali terakhir saya muncul adalah pada tahun 2011 dengan single berjudul Sistematik ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. Kemunculan saya untuk kembali memeriahkan industri dengan single terbaru juga adalah kerana anak saya, Arisya kini kian membesar dan sudah memasuki sekolah berasrama penuh.

“Sebelum ini, saya menumpukan sepenuh perhatian dan fokus kepada keluarga, terutamanya kepada anak saya, tetapi selepas anak meningkat dewasa, saya sudah mempunyai masa untuk kembali menyanyi,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal