Penyertaan Halima Aden, 19, dalam Miss Minnesota Amerika Syarikat (AS) menjadi sebutan kerana dia merupakan peserta berhijab pertama menyertai pertandingan ratu cantik.

Lebih menarik lagi apabila Halima turut mengenakan pakaian mandi Muslimah, burkini, ketika pusingan pakaian mandi dalam pertandingan itu.

Kemunculan Halima burbikini telah menerima tepukan gemuruh penonton sebaik sahaja pengacara majlis mengumumkan "dia mencipta sejarah malam ini."

Halima juga telah menjadi bualan di laman sosial Twitter dan Facebook dan telah menerima pujian daripada netizen di seluruh dunia, terutama yang beragama Islam.

Namun, ada juga yang berpendapat Halima tidak memenangi pertandingan kerana dia beragama Islam dan mendakwa wujud elemen perkauman.

Halima yang sampai ke peringkat separuh akhir pertandingan itu berkata, dia mahu menggunakan peraduan berkenaan sebagai peluang untuk mencabar kesilapan persepsi terhadap Islam.

Remaja dari St Cloud itu tiba di AS ketika berusia tujuh tahun bersama keluarganya, pelarian Somalia.

Pertandingan itu dimenangai Meridith Gould dari Minneapolis yang bakal bertanding dalam Miss USA, tahun depan.