Bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Sham Visa bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk tersingkir ketika menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta (Afgan) dalam keadaan sakit tekak.

Jelas Sham, lagu itu terpaksa dinyanyikan dalam tona suara rock disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi tiga hari sebelum konsert Ahad lalu.

"Saya terpaksa rockkan lagu RnB. Saya mula sakit tiga hari sebelum konsert, tekak rasa panas, kering, sakit dan gatal-gatal.

"Namun, itu semua di luar kawalan saya dan saya cuba melunaskan tanggungjawab walau dalam kepayahan.

"Memang lagu itu asalnya dinyanyikan dengan cara lain namun itu saja pilihan yang ada.

"Sepanjang tempoh sakit itu pelbagai ikhtiar sudah saya buat termasuk mengikut nasihat dan petua kawan-kawan.

"Itulah yang termampu dan saya bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya kepada Gempak.

Persembahan mengecewakan Sham itu hanya berjaya menduduki tangga ketiga tercorot sebelum Feeza dan Nurfatima.

Akui sedikit tertekan dengan situasi pertandingan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal, kata Sham dia bagaimanapun masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

"Keadaan ini menyakitkan. Sedikit sebanyak daripada perspektif saya sebagai orang yang sudah lama tak menyanyi, apabila masuk bertanding ada sedikit tekanan itu.

"Tapi sudah lima minggu berlalu dan saya mula belajar dan faham perjalanan GV.

"Tersingkir? Sudah tentu saya terfikir sebab persembahan saya memang tak bagus. Saya sudah bersedia," tambahnya.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.