Kumpulan Estranged telah memilih Kilang Bateri, Johor Bahru sebagai destinasi pertama konsert jelajah berjudul Konsert Estranged Sepenuhnya Vol 1, pada 3 Februari 2017.

Vokalisnya, Rich atau nama sebenarnya Richael Lawrence Gimbang, 34, berkata, konsert ini diadakan untuk menghargai para peminat yang telah banyak menyokong Estranged selama ini.

“Sebelum ini konsert jelajah kampus kami mendapat sambutan menggalakkan. Banyak ilmu dan perkara yang kami belajar dan kutip sepanjang lebih 10 tahun dalam industri muzik tempatan.

"Jadi, besar harapan kami agar konsert ini mencapai sukses dan menjadi pemula yang baik untuk Estranged melakukan lebih banyak persembahan dalam skala besar pada masa akan datang," katanya.

Konsert yang menerima tajaan daripada Power Root dan Drum Asia itu akan bermula pada 8.30 malam dan sebanyak 1,500 tiket akan dijual dengan harga RM25.

Persembahan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Velvet.

"Kami akan mempersembahkan lagu-lagu hit merangkumi dari album In Hating Memory sehingga Sepenuhnya Vol. 1 termasuk Aurora, Itu Kamu atau Hancur Aku.

“Kami juga berharap agar misi kami untuk menawan peminat di Johor dan menghimpunkan peminat daripada Melaka dan Singapura pada Februari tahun hadapan dapat direalisasikan.

Dalam pada itu Rich sempat mengimbas mengenai perjalanan Estranged sepanjang 10 tahun berada dalam industri muzik.



"Kami mendaki dengan perlahan, mempercaturkan karya yang sesuai pasaran, memenangi beberapa anugerah, membikin karya yang bersifat peribadi dan komersial serta perlu peka selain bersaing dengan banyak band baharu, namun semuanya dilalui dengan baik.

"Walaupun berdepan dengan banyak cabaran termasuk dari segi kemurungan pasaran muzik tempatan, namun Estranged belum mengalah. Kami percaya dengan kekuatan karya dan semangat yang tidak pernah putus daripada Estranged dan peminat-peminat, mudah-mudahan kami akan dapat terus terbang tinggi.

"Tempoh lebih sedekad ini juga telah mematangkan Estranged dalam banyak segi dan itu yang akan bakal diperoleh peminat lama serta kelompok peminat baharu kami pada persembahan atau karya-karya akan datang dari Estranged," ujar Rich menyimpulkan ringkas mengenai jatuh bangun Estranged dan hala tuju mereka selepas ini.

Okaylah, untuk melihat Estranged beraksi, tiket-tiket sudah boleh dibeli secara online menerusi www.estrangedtour.com/