Peserta Lawak Solo, AG Hafiz menjelaskan dia agak kecewa apabila tidak mengetahui bahawa isterinya telah melahirkan anak.

AG Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Abdul Ghani, 31, berkata, isterinya telah melahirkan anak mereka pada 10 pagi dan dia cuma mengetahui perkara tersebut pada 12 tengah malam ketika selesai melakukan persembahan.

"Saya sebenarnya rasa agak kecewa kerana tidak dapat menemani isteri ketika dia melahirkan anak kami.

"Sepatutnya saya yang berada disisi dia ketika sedang dalam keadaan begitu dan harus memberi semangat kepada dia.

"Namun saya cuma dapat tahu pada pukul 12 malam selepas melakukan persembahan sedangkan dia telah melahirkan pada pukul 10 pagi.

"Isteri yang mengambil keputusan supaya tidak memberi tahu kepada saya bahawa dia telah melahirkan anak kami kerana tidak mahu menggangu kosentrasi saya ketika membuat persembahan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, dia amat bersyukur kerana keadaan isteri dan anaknya dalam keadaan sihat meskipun dia tidak ada semasa bersama mereka ketika berada di hospital.

Jangan lupa saksikan peringkat akhir Lawak Solo yang disiarkan secara langsung dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi