Panyanyi popular dan komposer Hael Husaini menyatakan masih belum membuat keputusan mengenai pengganti Datuk Seri Siti Nurhaliza pada persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik 34.

Jelas Hael tidak mudah untuk mencari penyanyi ganti untuk lagu Anta Permana.

"Saya dan Ezra Kong masih menunggu kata putus daripada semua pihak yang terbabit.

"Jadi tidak timbul isu saya masih berharap Siti membawakan lagu itu.

“Saya menerima keputusan Siti untuk tidak lagi bertanding pada Anugerah Juara Lagu.

"Sebenarnya tidak mudah untuk mencari penyanyi ganti ini," katanya kepada Gempak.

Hael ditemui ketika majlis EH! Top 20 2019 yang diadakan di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur.

Tambah pelantun lagu Hajat ini, dia akui dirinya sendiri tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab menggantikan Siti.

“Secara peribadi, saya tidak berani menggalas tanggungjawab itu kerana tidak yakin mampu membawakan Anta Permana sebaik Siti.

“Kami mencari penyanyi yang mempunyai jiwa dan mampu membawa lagu itu dengan baik.

"Siapa yang bakal menjadi pilihan kami, jawapannya akan diketahui pada hari persaingan nanti," katanya lagi.

Terdahulu, Siti mencadangkan penyanyi Ernie Zakri untuk menjadi penyanyi pengganti kerana kemampuannya dalam menyanyikan lagu tradisional dan balada.

Namun, ada spekulasi yang mengatakan penyanyi Bob Yusof akan menggantikan tempat Siti.