Semalam, tular beberapa keping foto ‘pengantin perempuan’ mengadakan sesi fotografi di tanah perkuburan Kristian.

Difahamkan sesi fotografi luar biasa itu diadakan sebuah butik pengantin berdasarkan ‘watermark’ yang terdapat pada foto-foto tersebut.

Kreativiti luar kotak produksi tersebut bagaimanapun telah mencetus kemarahan netizen dan rata-rata mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai tidak menghormati tanah perkuburan agama lain.

Perbuatan tidak bertanggung jawab tersebut menarik perhatian seorang warga net yang kemudiannya meluahkan rasa terkilan menerusi bebenang di laman sosial Twitter.

“Sakit hati, demi mahu viral begini la dia, ingat benda tu boleh main-main? Ini bukan sebab agama tetapi kalau dah bang*ng tu memang bang*ng, biarlah bangsa atau agama apa pun.

“Kami marah ni tak tengok pun agama bangsa dia, cuma dia ni manusia yang memang tak hormat tempat orang,” antara luahan dibuat warga net tersebut.



Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian warga Twitter lain yang rata-ratanya tampil memohon maaf di atas perbuatan kurang sentiviti itu.

Kepada pasangan pengantin di luar sana, tak salah jika mahukan kelainan tetapi janganlah sampai terlalu pelik sehingga boleh mengundang amarah orang lain.

Mohon bakal pengantin semua lebih peka selepas ini..Jangan kerana mahu viral, adab dan tatasusila diketepikan.