Seperti yang dijanjikan bekas isteri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Rihana Oksana Gorbanteko mendedahkan wajah bayi sulungnya, Ismail Leon.

Foto Ismail Leon dikongsi Oksana kira-kira jam 11 pagi Sabtu dan telah menerima lebih enam ribu komen dan 90 ribu tanda suka.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagram (IG) itu, Oksana memberitahu Ismail Leon kini sudah pun berusia lima bulan.

“Hello, nama saya Ismail Leon. Saya berusia lima bulan dan ibu saya sangat menyayangi saya,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata pengikut Oksana berpendapat bayi comel itu seiras bapanya.

Mereka turut mendoakan Ismail Leon membesar sebagai anak yang soleh dan baik terhadap ibunya.

Bagaimanapun ada juga pengikut yang mengkritik Oksana yang dianggap seperti menyimbah minyak ke dalam api apabila memuat naik foto anaknya di saat berlaku pertikaian tentang siapa bapa bayi tersebut.

Tambahan lagi, Oksana pula dilihat agak berani membidas Sultan Muhammad V ketika menjawab komen para pengikutnya.

Bulan lalu, Oksana memfailkan petisyen paterniti di Mahkamah Daerah Dogomilovsky di Rusia, menamakan Sultan Muhammad V sebagai defendan, selepas menuntut elaun bulanan sebanyak RM123,000 dan hartanah di Moscow dan London bernilai RM47 juta.

Ia selepas peguam Sultan Muhammad V, yang dikahwininya tahun lalu, menolak dakwaan Oksana bahawa beliau merupakan bapa kepada anak mereka.