Pelakon Rita Rudaini menarik nafas lega selepas dua lelaki tersebut hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara dan tampil bersemuka dengannya.

Membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara, Rita berharap permohonan maaf itu dibuat secara ikhlas.

"Mereka hadir bersemuka dengan saya atas kesilapan mereka sendiri. Seperti yang saya mahukan, mereka kena hadir dan tampil bersemuka dengan saya.

"Melalui percakapan yang direkod, keduanya mengakui kesilapan berdasarkan komen yang ditulis di akaun IG dan Facebook saya.

"Saya berharap permohonan maaf mereka ikhlas dan tidak akan buat lagi. Biar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua," katanya kepada Gempak.

Rita ditemui di sidang media di Balai Polis Mutiara Damansara sebentar tadi.

Menurut wakil peguam Rita iaitu Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan menyatakan pihaknya masih mempertimbangkan sama ada ingin meneruskan saman malu atau tidak.

"Isu ini tidak terhenti di sini kerana perkara ini sudah tular di media sosial sehinggakan anak-anak Rita turut ditanya status mereka.

"Walaupun kedua-dua mereka sudah membuat permohonan maaf dan bersemuka dengan Rita, namun pihak kami masih mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan saman malu atau tidak.

"Ia sudah melibatkan harga diri, kerjaya dan kreadibiliti yang akan memberi kesan terhadap Rita dan keluarga," katanya lagi.

Dua lelaki tersebut, Ahmad Najib Mat Arif dan Hafiiz Ahmad Mustaffa hadir ke perkarangan balai polis kira-kira pukul 8.30 malam.

Terdahulu, Rita membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang didakwa memfitnah status taraf kedua-dua anak lelakinya di Instagram (IG).

Rita terpaksa mengambil tindakan kerana komen yang ditulis oleh individu berkenaan bersifat keterlaluan serta menjatuhkan maruahnya sebagai ibu dan wanita yang pernah mendirikan rumah tangga.

Rita memberi tempoh selama 14 hari dari 21 Oktober untuk individu itu tampil bertemu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan bukannya menerusi media sosial.

BACA: Kesahihan Taraf Anak Dipertikai, Rita Rudaini Buat Laporan Polis