Penyanyi Kaka Azraff menolak desas-desus sedang menjalin cinta dengan Awi Rafael, tetapi mengakui lebih selesa untuk berkawan rapat.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff , 27, berkata, dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi itu seperti diperkatakan baru-baru ini.

Menurut Kaka, hubungan di antara mereka tidak melibatkan soal hati serta perasaan dan apa yang diperkatakan oleh orang ramai cuma disalah erti.

"Tiada putik-putik cinta kerana hubungan kami hanyalah sekadar rakan biasa sahaja dan saya selesa berkawan dengan Awi.

"Sebenarnya banyak pihak salah anggap mengenai keakraban kami kerana sering melihat saya dan dia bersama.

"Kami sering dilihat bersama kerana penglibatan sebagai pasangan duet dalam program terbaharu terbitan Astro iaitu Duo Star.

"Apabila berkaitan dengan kerja saya seorang profesional dan tidak pandai mencampur-adukkan dengan perihal peribadi, " katanya kepada Astro Gempak.

Kaka berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan program Duo Star di Bangsar, di sini, Isnin.

Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi