Penyanyi Anuar Zain akui harga tiket untuk konsert terbaharunya, Anuar Zain & You yang berharga RM888 agak mahal dengan keadaan ekonomi terkini.

Namun, Anuar berkata nilai itu sangat berbaloi untuk penonton yang hadir di konsertnya yang akan diadakan di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana pada 21 Januari 2017.

"Saya faham dengan ekonomi sekarang, orang akan fikir beberapa kali untuk membeli tiket dengan harga sebegitu tetapi saya yakin kepada orang yang dahagakan muzik live ia akan berbaloi.

"Lagipun saya percaya kepada penganjur iaitu Yonder Music dengan harga begitu pasti hasilnya nanti juga terbaik dengan susunan muzik yang hebat daripada pengarah muzik tersohor Sze Wan dan pengarah persembahan Jennifer Thompson.

"Tambah pula dengan ekonomi dan duit kita yang jatuh ni membuatkan semua menjadi mahal.

"Tapi percayalah saya mahu semua peminat berhibur dan dekat dengan saya pada konsert itu nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Anuar ditemui ketika sesi sidang media pengumuman konsert Yonder Music Live Series By The Lake: Anuar Zain yang diadakan di Hotel Le Meridien KL, Isnin.

Bakal berlangsung selama 90 minit, Anuar Zain & You akan menyaksikan penyanyi itu mendendangkan 14 lagu hit dari album terdahulu hingga terbaharu.

Persembahan istimewa tersebut juga merupakan kesinambubgan promosi album terbaharu Anuar.

Mendapat sentuhan Sze Wan sebagai pengarah muzik bersama 14 pemuzik, di samping Jennifer Thompson yang bertindak sebagai pengarah persembahan.

Harga tiket yang dijual serendah RM388 hingga RM888 itu boleh didapati di www.ticketcharge.com.my bermula 9 Disember ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal