Stesen radio, THR Gegar telah melancarkan Projek 1 Pensel bagi membantu membekalkan 100,000 batang pensel kepada 100 buah sekolah.

Pengurus Kandungan THR Gegar, Nadira Azizan berkata Projek 1 Pensel itu dilakukan bagi menggalakan orang ramai untuk menderma dalam bentuk selain wang ringgit.

“Objektif Projek 1 Pensel ini adalah untuk memudahkan proses pembelajaran setiap murid dengan membantu mereka untuk menyediakan keperluan asas dan secara tidak langsung menggalakkan para pendengar THR Gegar untuk berbuat kebaikan walaupun dengan modal yang kecil sahaja.

"Sumbangan sebatang pensel ini boleh disumbangkan oleh seluruh rakyat di Malaysia tanpa mengira perbezaan latar belakang.

"Seterusnya, sumbangan boleh dilakukan dengan menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pensel setiap seorang bermula 1 sehingga 31 Disember ini.

"Misi THR Gegar adalah untuk mengumpul sebanyak 100,000 batang pensel untuk diberikan kepada 100 buah sekolah di seluruh Pantai Timur," katanya.

Projek 1 Pensel telah dilancarkan bersama barisan penyampai radio mereka seperti Shah, Zura, Suzana, Nasa, DJ dan Nazz di Astro Radio semalam.

Majlis pelancaran yang ringkas itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran artis tempatan seperti Altimet, Eyza Bahra, Aishah Bujang, Najwa Latif, Twinnies, Syuhada, Zahid AF, Eddie Hamid, Encik Mimpi, Nahu & Qya, Lawa Nie Geng dan Khai Bahar.

Para artis yang menghadirkan diri pada majlis itu turut memberikan sokongan serta pujian terhadap inisiatif THR Gegar dalam melaksanakan Projek 1 Pensel.

Sumbangan boleh hantarkan Kepada kepada kru Gegar yang akan berada di lokasi lintasan mereka serta hantarkan secara pos ke ibu pejabat THR Gegar seperti alamat, Projek 1 Pensel THR Gegar, Astro Radio, tingkat 2, bangunan Astro 57000 Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain itu, para penyumbang boleh menghantarkan sumbangan ke pejabat cawangan Astro Radio di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai ‘Projek 1 Pensel’, sila layari laman sesawang THR Gegar (Facebook, Instagram, Laman web dan Twitter).

Teks oleh: Syafiqah Jalal