Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, 32, berpendapat kemungkinan Kang Gary telah tertekan butang ‘follow’ Instagramnya (IG) secara tidak sengaja.

Menurut Nana, perkara sebegitu boleh berlaku kerana dia sendiri pernah lakukan perkara yang sama iaitu tertekan butang ‘follow’ akaun IG orang lain.

“Bila kita lihat ‘timeline’ IG tiba-tiba kita lihat ada gambar orang yang kita tidak kenali ada dalam senarai kawan kita.

“Dari situ saya dapat tahu yang saya pernah tertekan butang IG orang lain tanpa saya sedari.

“Begitu juga dengan Kang Gary, mungkin dia tertekan IG saya,” kata Nana ketika dihubungi Astro Gempak.

Tambah Nana lagi, walaupun ada komen-komen yang mengatakan dia teruja melampau selepas Kang Gary menjadi kawan IGnya, Nana hanya menganggap sekadar gurauan peminat yang turut meminati bekas peserta Running Man itu.

“Saya taklah ambil serius sangat hal ini, cuma agak pelik dan kelakar kenapa tiba-tiba Kang Gary nak ‘follow’ IG saya.

“Tetapi secara jujurnya, saya memang minat dia lebih-lebih dalam program Running Man bersama pasangannya Song Jhi Hyo.

“Walaupun tidak pernah bertemu secara empat mata, saya kagum dengan personaliti Kang Gary yang sempoi dan bersahaja dalam program itu,” katanya.

Menyentuh mengenai karier seni, Nana kini sedang sibuk menjalani latihan Teater Muzikal Dia Semanis Honey yang akan dipentaskan di Istana Budaya selewat-lewatnya Januari 2017.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir