Mencatat sehingga 15 juta carian di Google, merupakan salah satu faktor jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) dipilih sebagai selebriti program realiti digital The House musim kedua.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selain memiliki jenama yang kuat, DSV juga merupakan seorang personaliti yang sentiasa dijadikan inspirasi kerana kejayaan mengukuhkan empayar perniagaan miliknya.

“Pemilihan DSV dan keluarganya untuk diketengahkan dalam menerusi musim kedua program The House ini dilihat tepat kerana beliau mempunyai pengaruh yang kuat di media massa, terutamanya di jaringan media sosial .

“Kita dapat lihat, setiap perkongsian beliau di laman sosial seperti Instagram dan Facebook pasti menjadi ikutan dan bualan ramai.

“Tidak terkecuali juga kehidupan keluarga beliau merupakan antara carian tertinggi utama di laman sesawang,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di Jibby East, Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Menurut Jastina, menerusi The House sisi lain DSV yang tidak pernah diketahui umum akan ditampilkan.

“DSV seorang individu yang sangat positif dan terbuka. Beliau tidak pernah ambil pusing dengan tohmahan yang dilemparkan orang sekeliling, malah menganggap dugaan yang datang sebagai penguat untuknya supaya terus bangkit dan maju dalam empayar perniagaan dimiliki.

“Kami yakin populariti dan reputasi yang dimiliki DSV akan memikat hati para penonton yang pastinya berasa teruja untuk mengenali beliau dengan lebih dekat,” ujarnya.

Jangan lupa untuk saksikan program menarik The House yang disiarkan secara ekslusif menerusi portal Astro Gempak atau klik di sini ---> THE HOUSE pada setiap Rabu bermula 30 November 2016.

Siaran televisyen The House 2 akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap Rabu jam 9.30 malam bermula 7 Disember ini.

Terdahulu, The House musim pertama yang menampilkan tiga beradik Maembong berjaya mencatat lebih 9 juta tontonan di rangkaian platform digital Facebook, Youtube dan portal rasmi, Astro Gempak.

Lebih membanggakan apabila The House musim lalu turut menerima pengiktirafan di Marketing Excellence Award 2016 (MEA 2016) anjuran Advertising Marketing Magazines iaitu pingat emas menerusi kategori Excellence in Digital Marketing (Pemasaran Digital Terbaik) dan perak bagi kategori Excellence in Brand Awareness (Penjenamaan Terbaik).

Selain itu, The House musim pertama turut memenangi pingat perak di The Spark Awards for Media Excellence 2016 menerusi kategori Best Programme Promotion (Promosi Program Terbaik).