Penyanyi As’ad Motawh melahirkan rasa syukur apabila buat pertama kalinya single yang dikeluarkan tidak menerima kecaman.

Menurut As’ad, 18, single terbaharu yang dilancarkan beberapa bulan lalu iaitu Selamanya mendapat sambutan yang baik.

“Alhamdulilah, sebenarnya saya bersyukur kerana pertama kalinya single kali ini tidak dikecam.

“Jika dilihat sebelum ini, apa sahaja saya lakukan pasti akan ada kecaman,” katanya kepada Gempak.

As’ ad ditemui selepas pelancaran Shopee MAKNA Big Sale 11.11 di W Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Senyum itu memberitahu dia kini sudah lali dengan kecaman yang diterima.

“Mungkin kerana saya sudah selalu dikecam, jadi apa jua kecaman yang saya terima sekarang saya tidak rasa apa.

“Bayangkan saya pernah dikecam teruk sejak umur saya 16 tahun lagi, kini ia sudah menjadi lali.

“Paling teruk pun saya akan rasa sedih tapi tidak sampai depresi kerana saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Lagipun saya fikir mereka ini tiada niat pun nak alukan perkara itu, cuma hanya mahukan perhatian,” katanya lagi.