Pelawak yang juga anggota kumpulan Chilok, Allahyarham Kamal sepatutnya berada bersama ‘keluarga’ Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019, namun hajat tersebut tidak kesampaian.

Kamal sepatutnya berada dalam kumpulan SMART bersama Am Ketampi (bekas peserta Raja Lawak 2) dan Zam Sol (juara Skool of Lawak) di pentas Hot Seat, Jumaat ini.

Chiwan ketika dihubungi berkata, dia sepatutnya bertemu Kamal untuk bertanyakan tentang persiapan menjelang Hot Seat MLM 2019, esok namun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan.

“Saya sepatutnya bertemu arwah Kamal pada hari dia terlibat dalam kemalangan tempoh hari…Tapi itulah, semua sudah suratan.

“Jujur saya katakan arwah seorang yang sangat berbakat dan saya gembira apabila mendapat tahu dia dijemput menyertai SMART,” katanya kepada Gempak.

Tambah Chiwan lagi, saat paling gembira buat dirinya apabila arwah Kamal memberitahu bakal menyertai MLM 2019 ketika bercuti bersama di Pulau Tioman.

“Sudah tentu saya gembira kerana walaupun kami tidak bersama Chilok untuk ke MLM, tetapi kami tetap sepentas.

“Achok akan bersama kumpulan R3 yang dianggotai Jaly Sol (bekas peserta Skool of Lawak) dan Lopez R2 (bekas peserta MLM 2011) nanti di pentas Hot Seat.

“Saya beritahu Kamal mengenai perkara tersebut dan meminta dia supaya turut bertanding di Hot Seat, tetapi arwah beritahu dia tidak mahu kerana tidak bersama saya.

“Saya terus memujuk arwah dan selang beberapa hari selepas itu ketika berada di Tioman, Kamal beritahu Am dan Zam mempelawanya menyertai SMART,” katanya.

Dalam pada itu, Chiwan berharap agar kumpulan SMART terus berjuang di pentas Hot Seat bersama semangat Kamal.

“Sesiapa pun yang ganti Kamal, saya yakin SMART akan tetap memberikan yang terbaik esok,” kata Chiwan yang akan tetap merindui arwah sahabatnya itu.

Pentas Hot Seat MLM 2019 menampilkan 12 peserta berentap untuk bersama peserta lain di Fast Lane.
12 peserta tersebut ialah EKZOS, XOXO, WALA, GAM, SPM,ONXON, KPOP, SOPAN, MADUS, SMART, HALUS dan R3.

Jangan lupa untuk menyaksikan HOT SEAT MLM 2019 pada Jumaat (25 Oktober) yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna dan Warna HD yang mana akan menyaksikan 12 peserta lawak berentap untuk meraih kedudukan di pentas utama MLM 2019.

‘MLM 2019 – Hot Seat ini akan dihoskan oleh pengacara sensasi, Nabil Ahmad, dan tiga nama besar dalam industri bakal terlibat untuk mengadili persembahan peserta. Mereka adalah pengarah tersohor, Sabri Yunus, pelakon wanita popular, Fasha Sandha dan produser filem, Mejar (K) David Teo.