Bekas anggota kumpulan 2NE1, Sandara Park sebak ketika membuat kemunculan pertamanya di kaca televisyen selepas pembubaran kumpulan tersebut diumumkan secara rasmi, Jumaat lepas.

Sandara yang muncul menerusi program realiti TVnya, Pinoy Boyband Superstar jelas menunjukkan wanita itu tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan menahan air matanya sebelum memberikan kata-kata ucapan buat para peminatnya.

“Saya sangat sedih sekarang, tapi anda semua telah membuatkan hati saya berasa sedikit gembira, jadi saya ingin berterima kasih kepada anda semua,” katanya menahan sebak.

Dalam pada itu, menerusi satu video yang dirakamkan oleh peminat, Sandara atau lebih mesra dengan panggilan Dara telah menulis sepucuk surat sebelum memberikan surat tersebut kepada salah seorang peminatnya.



Dia juga meminta supaya surat tersebut disebarkan kepada Blackjacks (gelaran peminat 2NE1).

“Memang ia sakit, mohon jangan pergi, saya sangat kesunyian dan kita perlu kekal bersama. Saya tak peduli apa orang kata, saya hanya ingin memberitahu satu dunia bahawa saya sangat sayangkan anda semua.

“Sehingga kini saya masih sayang dan cintakan Blackjacks, tolong jangan menangis. Tiada siapa yang boleh menjatuhkan kita, jadi jangan berhentikan muzik dan saya sentiasa merindui anda,” tulisnya.

Ayat-ayat surat yang ditulis oleh Dara itu juga merupakan barisan lirik lagu popular 2NE1 antaranya It’s Hurt, Lonely dan Missing You.

Sementara itu, nama dara kini trending di laman sosial Twitter dengan hashtag #hereforsandarapark manakala #thankyou2NE1 menjadi trending sejak pembubaran kumpulan tersebut diumumkan.

Menerusi hashtag tersebut, rata-ratanya meminta supaya Sandara kuat dan jangan bersedih kerana mereka sentiasa menyokong ahli kumpulan berkenaan.

Terdahulu, syarikat pengurusan 2NE1, YG Entertainment menerusi satu kenyataan mengumumkan kumpulan 2NE1 secara rasmi sudah dibubarkan 25 November lalu.

Selepas Minzy keluar daripada kumpulan tersebut 5 April lalu, CL dan Sandara mengambil keputusan untuk bergerak solo manakala Park Bom pula memutuskan untuk tidak menyambung kontrak.

Buat masa ini, YG akan memberi perhatian kepada kerjaya solo CL dan Sandra yang baru bermula.

2NE1 merupakan kumpulan wanita Korea Selatan yang dibentuk oleh YG Entertainment pada 2009.

Teks oleh: Mya Amri