Pelakon, Wan Maimunah Abdul Aziz, 62, yang dimasukkan ke Hospital Jasin, Melaka sejak Khamis lalu berikutan jangkitan kuman pada paru-paru dan bengkak jantung, dilaporkan masih lemah.

Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zack Kool, berkata keadaan aktres berpengalaman itu masih perlu dipantau doktor beberapa hari lagi selain dinasihatkan mendapat rehat secukupnya.

"Ibu (Wan Maimunah) gembira menerima kunjungan Seniman. Setakat ini dia masih kelihatan lemah dan perlu berehat. Dia tidak tahu bila dibenarkan pulang. Dalam kunjungan kami petang tadi banyak cerita dikongsikan.

"Sebenarnya ibu sendiri tidak menyangka penyakit asma yang dihidapi sejak dulu mula melarat. Mungkin disebabkan cuaca di Makkah kerana ibu memaklumkan baru pulang mengerjakan Umrah.

"Apa pun kata ibu, ini semua ujian kecil. Dia cuma meminta kita sama-sama mendoakannya cepat sembuh," kata Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad kepada BH Online.

Zack bersama beberapa ahli jawatankuasa persatuan itu meluangkan masa kira-kira sejam menemani pelakon terbabit selain menyerahkan sumbangan bagi meringankan bebannya.

Terdahulu, Wan Maimunah ketika dihubungi meminta maaf kerana tidak dapat melayani panggilan wartawan disebabkan terlampau letih namun meminta menghubunginya semula.

Sementara itu, beliau yang mesra disapa dengan panggilan Ibu mula berkecimpung dalam industri seni sejak 1972 dan meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2002 serta Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH lima tahun berturut-turut.

Sumber: BH Online