Peserta Lawak Solo, Wan atau dikenali sebagai Wan Gegau mengakui membawa semangat arwah ibunya untuk terus berjaya di atas pentas lawak solo.

Wan Gegau atau nama sebenarnya Mohd Saffuan Samsudin, berkata, kata-kata yang pernah diberikan oleh ibunya dulu merupakan pegangan untuk dia berlawak di atas pentas.

"Secara jujurnya mak merupakan semangat untuk saya terus berjaya di pentas lawak solo ini.

"Segala pesanan yang pernah diberikan oleh arwah mak suatu ketika dahulu kepada saya masih segar dalam ingatan dan kerana itulah juga merupakan semangat bagi saya untuk terus berjaya.

"Antara pesanan yang mak sering cakap kepada saya adalah 'hidup jangan sesekali mendongak ke langit kerana kita harus sentiasa berpijak dan tunduk di bumi yang nyata'," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, sebagai seorang manusia kita harus sentiasa mempunyai sifat rendah diri dan jangan sesekali berbangga diri dengan apa yang kita ada.

Pada malam itu, penyanyi Farahdhiya telah dijemput sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua orang juri tetap iaitu Datuk Ac Mizal dan Saiful Apek.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi