Pelakon Farah Nabilah mengumumkan akan mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Mohammed Amirul Yunus yang merupakan seorang juruterbang.

Menurut Farah, dia memilih untuk tidak mendedahkan tentang perkahwinannya sebelum ini kerana mahu peminat menumpukan perhatian terhadap karier lakonannya.

Dia juga tidak mahu memberitahu orang ramai tentang perkara yang masih belum mendapat kepastian.

"Sebelum ini saya memilih untuk tidak mendedahkan tentang perancangan untuk berkahwin kerana mahu peminat fokus dengan kerjaya saya sahaja.

"Selain itu, ibu bapa saya juga meminta untuk mendiamkan perkara itu sebelum ini kerana ia masih belum mendapat kepastian sepenuhnya.

"Sekarang, saya mengumumkan tentang perkara ini kerana ia telah memasuki fasa yang lebih serius" ujarnya.

Farah berkata demikian ketika ditemui di sidang media bersama Farah Nabilah bertempat di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah Farah, Amirul telah diperkenalkan kepadanya oleh teman rapat, pelakon Izara Aisyah tujuh tahun lalu.

"Tujuh tahun lalu, Izara telah memperkenalkan Amirul kepada saya, kami kenal sebelum saya menjadi selebriti.

"Kami berdua masih lagi belajar ketika itu, pada mulanya saya 'jual mahal', tetapi dia tidak putus asa, bersabar dan pandai mengambil hati ibu bapa saya, akhirnya dia berjaya menawan hati saya," tambahnya.

Difahamkan, Farah yang popular menerusi drama bersiri Titian Cinta itu akan melangsungkan majlis nikahnya pada 20 Disember ini, manakala resepsi akan diadakan pada 21 & 28 Disember 2019 diikuti satu lagi majlis yang akan diadakan pada 5 Januari 2020 (bagi pihak perempuan).

"Saya akan berkahwin pada hujung tahun ini, lokasi majlis perkahwinan saya akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur sahaja," tuturnya menutup bicara.