Penyanyi baru Shalma Eliana berkongsi kisah menyedihkan apabila dia hampir berputus asa untuk menyiapkan video muzik single terbarunya yang berjudul Mahukah Kamu.

Menurut Shalma, perasaan itu timbul apabila kaki kanannya patah sebelum proses rakaman video muzik itu bermula.

Mengimbas semula peristiwa itu, Shalma berkata insiden terbabit berlaku ketika dia cuba untuk terjun ke dalam kolam sekitar Ogos lalu.

"Itu pertama kali saya lompat dan terjunan pula salah, jadi kaki saya terhantuk pada lantai kolam. Pergi je hospital, doktor kata patah dekat tumit dan sehingga sekarang masih lagi dalam proses untuk pulih.

"Jadi bayangkan saya terpaksa berkerusi roda untuk menjayakan video muzik Mahukah Kamu," katanya.

Tambah Shalma Eliana, biarpun hampir putus asa menyiapkan video muzik tersebut, namun dia masih berpuas hati dengan hasilnya.

"Saya pada awalnya agak sedih juga sebab sepatutnya, saya kena menari dalam video tu. Jadi, bila dah patah kaki, kena tukar perancangan lain.

"Walaupun hampir nak give up, saya tetap berpuas hati dengan hasil video muzik ini. Alhamdulillah, Mahukah Kamu sudah pun dimuat naik ke YouTube rasmi Universal Music Malaysia," katanya.

Shalma ditemui pada konsert The Singing Pizza yang berlangsung di Bentley Music, Mutiara Damansara Sabtu lalu.

Konsert itu menampilkan tujuh penyanyi seperti Fazura, Fattah Amin, Alvin Chong, Thomas dan Jack, Aman RA, Zen serta Shalma sendiri.

Yana the zombie ?‍♀️

A post shared by YANA (@shalmaeliana) on