Menepati ramalan, pelakon Zul Huzaimy dinobatkan sebagai juara musim pertama All Stars Buka Panggung (ASBP) sekali gus membawa pulang hadiah paling lumayan berupa wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Naib juara pula milik Noorkhiriah dengan hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dan keempat pula milik Datuk Aaron Aziz dan Rita Rudaini masing-masing membawa RM 10,000 dan RM 5,000 berserta trofi.

Hadiah diserahkan oleh Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Sementara itu, penerima sumbangan minggu ini adalah pelakon dan pelawak lagenda Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha.

Hamid menerima sebanyak RM4,000 yang disalurkan menerusi juara mingguan.

Pusingan final yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam itu turut diserikan dengan artis jemputan Ropie, Ebby Yus, Ali Puteh dan Nabila Razali.

Malah, final ASBP turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan dari ratu dangdut, Mas Idayu, Juzzthin serta Nabila Razali.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.

Penjurian pula 100 peratus dari penonton yang boleh mengundi secara atas talian.ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.