Pelakon Wan Sharmila menafikan dakwaan bahawa hijrahnya merupakan persediaannya untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Jelas pelakon yang lebih senang disapa Lala, pilihannya untuk berhijab datang daripada dirinya sendiri dan tiada kena mengena dengan individu lain termasuk lelaki.

"Tiada kawan lelaki saya pun tahu saya nak berhijab. Orang pertama yang saya maklumkan adalah kawan baik saya, sehari sebelum saya ke Osaka dan dia menyambut baik hasrat saya untuk berhijrah.

"Saya bertudung bukan kerana nak kahwin tetapi manalah tahu, Insya-Allah.

"Saya pun ada terfikir juga, mungkin saya tak perlu menunggu saya berkahwin dahulu baru nak berhijab.

"Allah kata pakai tudung dahulu, selepas itu baru Dia temukan jodoh. Apapun ini rahsia Dia, Dia beri jalan dan saya buat," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2019 di De.Wan by Chef Wan, Kuala Lumpur semalam.

Lala mendedahkan kepada umum beberapa hari lalu bahawa dirinya kini telah berhijab sejak bercuti di Osaka, Jepun minggu lalu.

BACA: “Cantiknya! Semoga Istiqamah” – Tampil Berhijab Ketika Bercuti, Netizen Doakan Wan Sharmila

"Sebenarnya saya sudah lama simpan niat untuk berhijab dan akhirnya mengambil peluang sempena hari jadi untuk betul-betul mula berhijab. Allah beri kekuatan tahun ini.

"Saya rasa gementar, segan pun ada sebab ini tanggungjawab saya untuk berhijab.

"Tetapi saya merayu kepada orang ramai jangan letak ekspektasi terlalu tinggi sebab saya masih belajar," tambahnya.