Penyanyi dan pelokon Mark Adam mengakui menjadikan filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan untuk memperbaiki mutu lakonannya.

Mark Adam atau nama sebenarnya Fikri Adam Mark Abdullah, 37, berkata, dia akan menonton semula lakonan P.Ramlee kerana watak yang dibawakan oleh Allahyarham sentiasa memberi inspirasi kepadanya.

"Saya akan mendapat inspirasi setiap kali menonton filem-filem Allahyarham P. Ramlee kerana banyak perkara yang boleh dipelajari untuk memperbaiki mutu lakonan saya.

"Secara jujurnya saya tidak pernah jemu untuk menonton filem arahan beliau malah akan berulang kali menonton filem tersebut kerana apa yang dihasilkan itu mempunyai elemen drama tetapi komedi dan muzik," katanya kepada Astro Gempak.

Mark berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My English! : Road to Jojga yang diadakan di GSC Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur, disini Rabu.

Telemovie dua bahagian ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Elfira Loy, Randy Pangalila, Jihan Muse, Johan Raja Lawak, Mark Adam, Roax Tan, Mohd. Zhafir Muzani dan Juzztin.

Oh My English (OME) : Road to Jogja bahagian satu dan dua bakal bersiaran pada 3 dan 11 Disember ini di saluran Astro TVIQ (610), Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada pukul 9 malam.

Ia akan menyaksikan kemunculan 3 teraju utama Oh My English, Zack (Juzzthin), SYS (Roax Tan) dan Mazlee (Zhafir Muzani) bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini.

Bahagian kedua telefilem ini pula akan menyaksikan kemunculan pelakon popular Indonesia, Randy Pangalila bersama Elfira Loy, di mana duo yang tidak asing di kaca TV sinema Malaysia ini akan digandingkan sekali lagi khas untuk peminat-peminat Oh My English!

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi