Pelakon dan pengacara, Zizan Razak, 31, akui terkejut dan teruja apabila kelab peminat Mira Filzah, Miralegacy turut hadir bersama-sama meraikan ulang tahun keempat Zizan True Fans (ZTF).

Menurutnya, ia merupakan satu penghargaan bernilai buat Zizan kepada Miralegacy yang turut menyokong aktiviti anjuran ZTF.

“Saya sebenarnya tak menyangka, Mira Legacy sudi untuk luangkan masa raikan ulang tahun ZTF yang tidak seberapa ini.

“Bagi saya ia satu perkara yang sangat positif, apabila ZTF dan Miralegacy bergandingan dalam satu majlis ia dapat membantu lagi publisiti selebriti kesayangan mereka.

“Saya juga alu-alukan kelab peminat daripada selebriti lain bergandingan melakukan apa jua aktiviti untuk merancakkan lagi industri hiburan tanah air,” kata Zizan kepada Astro Gempak dalam projek #sepasangkasutsekolah yang turut mendapat kerjasama penaja iaitu 11 Streets dan We Love Charity.

Bagaimanapun Zizan enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Mira Filzah yang dikatakan semakin rapat dan akrab.

“Saya tak mahu komen apa-apa mengenai saya dan Mira. Tiada apa yang istimewa kerana kami sekadar teman biasa sahaja.

“Kalau ada usikan itu saya ambil pendirian buat tak tak tahu sahaja.

“Mungkin orang ingat saya benar-benar rapat, sebenarnya tidak pun.

“Ia juga tidak melibatkan hati dan perasaan, walaupun Miralegacy hadir dalam majlis ZTF, ia sekadar memberi sokongan dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menyentuh mengenai projek #sepasangkasutsekolah, sebanyak 160 pasang kasut akan disumbangkan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Sumbangan kasut sekolah ini adalah hasil idea ZTF dalam melaksanakan kerja-kerja amal untuk mendekatkan lagi hubungan antara ahli kelab dengan masyarakat luar.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir