Pelakon terkenal Indonesia, Donita dilayan bak puteri ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaru arahan Asun Mawardi, #66.

Semuanya gara-gara Donita yang disahkan hamil sewaktu berada di set penggambaran tersebut.

“Sebelum masuk ke set penggambaran, saya masih belum tahu yang saya sudah hamil. Ketika sudah beberapa hari berada di lokasi, baru saya menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan saya hamil.

“Selepas saya disahkan hamil, semua pelakon dan krew produksi melayan saya dengan begitu baik sekali. Mereka memberikan lebih perhatian kepada saya. Kadangkala, saya rasa seperti puteri pula.

"Walaupun hamil, saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan. Kini anak saya sudah berusia satu tahun dan membesar dengan sihat,” kata Donita kepada Astro Gempak.

Donita yang mula dikenali menerusi filem Suster Ngesot itu membawakan watak sebagai Fara dalam filem #66.

“Fara merupakan anak kepada seorang mafia. Walaupun bapanya bergelumang dalam dunia samseng, Fara mengambil pendekatan berbeza dan tidak mengikut jejak langkah bapanya.

“Fara selalu melakukan kerja kebajikan seperti membantu anak yatim dan komuniti tempat mereka tinggal. Konflik terjadi apabila Fara jatuh cinta dengan seorang pekerja bapanya,” katanya lagi.

Filem terbitan Creative Motion Pictures ini turut menampilkan Asun Mawardi, Yayu AW Unru, Franki Darmawan, Erwin ST Bagindo, Ali Syehan, Fandy Christian, Djaitov Tigor, Hendra Louis, Joshua D Pandelaki dan Ricardo Silenzie.

Filem aksi Indonesia #66 ditayangkan bermula 17 November ini secara serentak di Malaysia dan Indonesia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal