Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat kini beransur pulih selepas disyaki terkena jangkitan demam denggi.

"Saya sudah beberapa hari demam dan hanya bergantung kepada ubat sahaja. Semasa saya melakukan persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 31 pada Jumaat lalu, saya masih lagi tidak sihat.

"Sebelum itu, jadual saya sangat padat kerana ada beberapa urusan di Singapura. Saya ingatkan saya demam biasa sahaja dan saya hanya menguatkan hati untuk bersaing di Separuh Akhir Muzik Muzik kerana tidak mahu menghampakan peminat.

"Akhirnya, sehari selepas selesai bertanding, saya masih tidak pulih. Saya ke klinik dan akhirnya saya disyaki terkena demam denggi.

"Selepas beberapa hari, Alhamdulillah, kini demam saya beransur pulih," kata Ayda kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Ayda kini muncul dalam drama bersiri Awak Sangat Nakal yang sedang bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD.

"Drama bersiri ini lari daripada kebiasaan kerana tidak hanya memaparkan kisah cinta semata-mata. Cerita yang diangkat lebih menjurus kepada kisah kekeluargaan. Drama bersiri ini juga menyaksikan gandingan sulung saya bersama aktor Sharnaaz Ahmad," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Awak Sangat Nakal adaptasi novel karya Syamnuriezmil ini, Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #AwakSangatNakal untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal